Search This Blog

Riak di wajahmu
Pancaran sinar matamu
Suara dan bicaramu
Lambaian tanganmu
Tingkah laku dan gerak gayamu
Serta senyuman manis di bibirmu
Jelas menzahirkan keterampilanmu
Ampaian keikhlasan dan simpulan kejujuran
Terlukis di hati mewarnai sanubari
Kau jalinkan ikatan persahabatan
Penuh kerelaan dan ketulusan.

Aku bahagia tika kau berbicara
Aku gembira tika kau bermesra
Aku yang ketandusan teman
Kehausan seribu perhatian
Bermonolog dalam kesepian
Kesunyian melanda merobek jiwa
Hampir ku tersungkur lemah segala
Menghadapi masa depan yang entah bagaimana
Lalu kau hadir membangkitkan kembali
Melepaskan segala kekusutan perasaan
Aku sedar dari angan-angan dan mimpi
Hanya kerana setiap tuturmu
Memberi inspirasi membina diri
Menjadi wahana pendamai atma
Maka hilanglah segala trauma
Kini hidupku bersinar kembali.

Teman,
Bukan inginku raih nuragamu
Bukan inginku menyesak mindamu
Namun...
Sudilah kiranya suatu hari nanti
Membimbing dan memimpinku ke pangkal asalan
Andainya jalanku menjadi songsang
Kiranya hidupku tersalah haluan
Tersesat di persimpangan kerana kegagalan.

Kepadamu aduhai teman...
Selautan permata tidak ku miliki
Sebenua emas tidak ku punyai
Jua tiada segunung intan di sisi
Untuk ku hulurkan kepada mu
Hanya terima kasih seluas alam
Yang mampu ku ucapkan
Sebagai tanda ingatan
Lantaran budimu terlalu berharga
Tidak ternilai dengan isi dunia
Jua pintaku sekian kalinya
Usah dileraikan ikatan ini
Biar berterusan ke akhir alam
Walaupun hanya sebagai teman...

1 comments:

Hamba Allah | November 6, 2009 at 8:30 AM

SALAM ALAIK... SubhanaAllah, Nice blog! Mantop! Teruskan yer...

Post a Comment